
Putrajaya, 2 Julai – Hari kedua Pameran dan Persidangan Pertahanan &
Keselamatan Siber (CYDES) 2025 terus memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai
peneraju dalam keselamatan siber serantau, menerusi penganjuran Forum Strategi
Keselamatan Siber Malaysia 2025 (Malaysia Cyber Security Strategy Forum
2025) yang diadakan sehari selepas pelancaran rasmi Strategi Keselamatan Siber
Malaysia (MCSS) 2025-2030 oleh YAB Timbalan Perdana Menteri.
Forum ini dimulakan dengan ucaptama oleh Ketua Eksekutif, Agensi Keselamatan
Siber Negara (NACSA), Ir. Dr. Megat Zuhairy bin Megat Tajuddin, bertajuk
“Advancing Malaysia’s Cyber Resilience: The Vision of MCSS 2025-2030”.
Dalam ucapannya, beliau menekankan kepentingan menjadikan MCSS 2025-2030
sebagai satu strategi nasional yang bukan hanya bersifat polisi, tetapi strategi
menyeluruh untuk membina negara yang mampu bertahan, mengadaptasi dan
berkembang dalam era digital.
“MCSS 2025-2030 mencerminkan anjakan paradigma daripada pendekatan
perlindungan reaktif kepada ketahanan proaktif. Strategi ini mengangkat kerjasama
tiga (3) pihak berkepentingan utama – kerajaan, perniagaan dan komuniti – sebagai
rakan setara dalam mempertahankan ruang siber negara,” ujar beliau.
Beliau turut menggariskan bahawa dengan moto “Together we build, together we stay
safe”, MCSS akan dilaksanakan menerusi 16 matlamat strategik dan 7 objektif
dalam tempoh enam (6) tahun, serta mengajak semua pihak berkepentingan untuk
memainkan peranan aktif dalam menjayakan strategi ini.
ASTAKA CHINA SERLAHKAN KOLABORASI SIBER ASEAN
Dalam masa yang sama, Astaka China (China Pavilion) turut menarik perhatian
menerusi sesi khas bertemakan “Empowering ASEAN’s Cyber Resilience:
Insights from China’s Autonomous Cybersecurity Journey”. Enam (6)
pembentang daripada pelbagai agensi dan institusi teknologi China berkongsi
pengalaman serta pendekatan negara mereka dalam membina ketahanan siber
menekankan kepentingan kerjasama serantau yang inklusif dan saling memperkasa.
Sesi ini memperlihat peluang besar untuk pertukaran teknologi, amalan terbaik dan
diplomasi siber antara Malaysia, ASEAN dan kuasa digital utama seperti China.PENYERTAAN ANTARABANGSA: 304 PEMPAMER DARI 27 BUAH NEGARA
CYDES 2025 menerima sambutan luar biasa dengan penyertaan 304 pempamer
dari 27 buah negara, menjadikannya antara pameran keselamatan siber terbesar di
rantau ini. Antara tarikan utama termasuk:
• Astaka ASEAN
• Astaka China
• Reruai NACSA
• Ratusan reruai industri yang mempamerkan teknologi terkini dan penyelesaian
keselamatan siber – termasuk kecerdasan buatan (AI), cloud security dan
perlindungan rantaian bekalan pertahanan infrastruktur maklumat kritikal.
ACARA TEKNIKAL: ICS CTF & CYBER PODIUM
CYDES 2025 turut menyaksikan penganjuran Pertandingan Industrial Control
Systems (ICS) Capture The Flag (CTF) yang ditaja oleh rakan industri. Pertandingan
ini menguji kemahiran peserta dalam melindungi sistem kawalan industri dan
infrastruktur maklumat kritikal negara.
Sementara itu, sesi Cyber Podium diadakan sepanjang hari dengan pelbagai
pembentangan langsung, demonstrasi teknologi dan sesi perkongsian oleh pakar
tempatan serta antarabangsa.
PERTEMUAN PERINGKAT TINGGI PERKUKUH DIPLOMASI SIBER
Sebagai platform diplomasi dan dialog dasar, CYDES 2025 turut menganjurkan
beberapa pertemuan tertutup peringkat tinggi, antaranya:
• ASEAN–Australia Cyber Dialogue
• Mesyuarat Dua Hala Malaysia–Singapura
Sesi ini memberi ruang kepada perbincangan strategik berkaitan dasar keselamatan
siber, pemerkasaan kapasiti, perkongsian maklumat dan pembangunan kerjasama
serantau yang lebih kukuh.
SERUAN PENYERTAAN BERTERUSAN
CYDES 2025 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) sehingga 3 Julai ini masih terbuka kepada semua (sektor awam, swasta, akademik, pelajar serta masyarakat umum) yang ingin meneroka inovasi, menyumbang kepada polisi negara atau meneroka peluang kerjaya dalam bidang keselamatan siber.Untuk maklumat lanjut, sila layari www.cydes.my atau e-mel kepada